Assalamualaikum w.b.t,
Apa khabar semua. Saya doakan semua dalam mood yang baik dan ceria bersama insan di sekeliling kita.
Ok, post kali ni saya nak berkongsi ilmu yang saya ambil dari majalah Solusi Isu 61. Di ruangan Fizikr yang ditulis oleh Ustaz Norazmi Anas. Tajuk yang best bagi saya iaitu ' Di Sebalik 5 Waktu'.
![]() |
Majalah Solusi Isu 61 |
Anas bin Malik menceritakan : "Solat diwajibkan ke atas Nabi s.a.w pada malam Baginda diisrakkan sebanyak 50 kali, lalu dikurangi hingga menjadi 5 kali. Kemudian Baginda diseru : " Wahai Muhammad, sesungguhnya ketetapan di sisi-Ku tidak diubah. Dan sesungguhnya dengan lima waktu ini kamu akan mendapatkan pahala 50 waktu."-(Riwayat Ahmad)
~ Petikan dari artikel tersebut ~
Alhamdulillah, kita baru je menyambut hari Israk dan Mikraj pada 27 Rejab bersamaan 16 Mei 2015 yang lalu. Kisah di mana Rasulullah diangkat ke langit. Salah satu 'hadiah' yang diterima oleh Rasulullah iaitu solat yang asalnya diwajibkan 50 kali berkurang menjadi 5 kali.
Allahumma.... Cuba bayangkan sekiranya dituntut solat 50 waktu sehari semalam. Mampukah kita sedangkan 5 kali pun kadang-kadang tak terjaga. Rasa kerdilnya diri ini bila baca kembali cerita Israk Mikraj Rasulullah. :(
DI SEBALIK 5 WAKTU
Ok, berbalik pada artikel yang saya nak kongsikan. Kita sedia maklum, waktu yang berbeza-beza dikhususkan untuk kita mengerjakan solat pasti ada hikmah disebaliknya. Merujuk pada surah Al-Nisa' ayat 103 bermaksud :
"Sesungguhnya solat itu kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang yang beriman."
Jom sama-sama kita bongkar rahsia di sebalik 5 waktu tersebut.
SOLAT SUBUH ~ Permulaan Penuh Kesegaran
Kita tahukan untuk mendapat udara paling segar adalah di awal pagi. Mereka yang solat di awal pagi secara tidak langsung mengambil udara sihat. Paru-paru akan menyerap oksigen sebagai bahan bakar untuk metabolisme tubuh supaya dapat melakukan aktiviti harian dengan baik. Ini membuatkan kita lebih bersemangat dan minda menjadi segar.
Otak dan tubuh yang cergas memudahkan ilmu diserap dan difahami kesan daripada kandungan oksigen yang tinggi di dalam badan. Datang ofis pun sentiasa dalam mood aktif dan positif. Betul tak???
SOLAT ZUHUR ~ Penyegar Tubuh
Selepas solat Subuh, kita semua bertebaran dengan melakukan aktiviti harian tidak kiralah bekerja, belajar, menjaga anak dan lain-lain. Segala aktiviti tersebut memerlukan tenaga yang banyak. Kita mula rasa penat dan letih bila menjelang tengahari.
Secara logiknya, mengapa disyariatkan untuk Solat Zuhur pada masa badan sedang letih dan penat? Ya, sebenarnya solat Zuhur berperanan sebagai penyegar tubuh badan dan semangat setelah penat bekerja. Ia umpama bateri yang memerlukan tenaga tambahan apabila lemah dan perlu dicas semula.
Selain itu, solat Zuhur adalah sebagai penenang sementara daripada kesibukan kerja yang dilakukan dari pagi hingga tengahari. Ada baiknya juga kita tidur sebentar sebelum masuknya solat Zuhur yang mana ini adalah sunnah Rasulullah.
Dari sudut kesihatan pula, solat Zuhur berfungsi sebagai fasa penyejuk bagi sebelas sistem tubuh badan kita kerana sistem tubuh telah dikerah bekerja secara optimum pada pagi hari. Jantung kita akan menjadi sihat dan berfungsi dengan baik kerana diberi kerehatan secukupnya.
SOLAT ASAR ~ Mengimbangi keletihan
Bila tiba waktu petang, kita akan mula rasa semakin penat dan letih dengan kerja seharian. Ketika itu tenaga dan produktiviti kita berkurang. Satu kajian oleh Dr. Zahir Qarami membuktikan bahawa solat Asar mampu manjauhkan kita dari penyakit jiwa & mental di mana kadar penghasilan hormon adrenalin dalam tuduh kita.
Jika solat Asar tidak didirikan, kita masih berada dalam keadaan tertekan yang menyebabkan hormon adrenalin sentiasa berada dalam darah dan terus meningkat. Keadaan inilah yang menyebabkan kehadiran penyakit jiwa dan fizikal.
Fasa ini dikenali sebagai fasa toksifikasi tubuh badan. Ginjal dan usus kecil berperanan membuang sisa-sisa metabolisme tubuh untuk menjadikan tubuh lebih sihat dan terhindar dari penyakit.
SOLAT MAGHRIB & ISYAK ~ Berehat Dengannya
Solat Maghrib merupakan fasa detoksifikasi bahan-bahan pembuangan metabolisme tubuh badan kita. Biasanya waktu ini semua kerja seharian kita telah selesai. Suasana terang pun sudah menjadi gelap dan seterusnya membawa kita ke waktu rehat.
Solat Maghrib merupakan fasa detoksifikasi bahan-bahan pembuangan metabolisme tubuh badan kita. Biasanya waktu ini semua kerja seharian kita telah selesai. Suasana terang pun sudah menjadi gelap dan seterusnya membawa kita ke waktu rehat.
Solat Isyak pula akan mengakhiri aktiviti seharian kita. Waktu inilah yang sesuai untuk memperbaiki peredaran darah dan mengatur pernafasan menjadi lebih baik. Selain itu, fungsi hati dan pancreas juga dioptimumkan.
Ketahanan diri juga menjadi lebih kuat hasil daripada penggantian sel-sel mati dan sistem imun tubuh badan menjadi lebih kuat.
5 KALI SOLAT ~ Rutin Memperbaharui Syahadah
Alhamdulillah, terungkai sudah hikmah di sebalik 5 waktu. Namun, hikmah yang saya kira paling besar adalah rutin memperbaharui syahadah kita. Kita semua tidak lari dari melakukan dosa dan kesalahan sama ada sedar atau tidak. Begitu juga dengan dosa syirik yang kadangkala perbuatan kita ada berunsurkan syirik kepada Allah.
Di dalam solat kita akan membaca syahadah di saat tahiyat awal dan akhir. maka, jika kita syirik secara tidak sengaja, solat kita mampu menyelamatkan syahadah kita.
Ok, itulah petikan yang saya ambil dari artikel tersebut. Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua terutamanya diri saya ini. Jom, kita cuba amalkan solat di awal waktu kerana Rasulullah pernah ditanya oleh Abdullah bin Mas'ud : " Apakah amalan yang utama?". Jawab Rasulullah : " Solat tepat pada waktunya".(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Wallahu'alam.....
0 comments:
Post a Comment